AIR MATA CORDOBA

Sedih

Sedih dan sayu apabila tiba di bumi Cordoba , Sepanyol ini.Tambahan pula bila duduk dan termenung memandang  bangunan la mezquita ini.Saya pasti berjuta air mata yang telah berguguran disini.

Cordoba , sebuah lokasi yang cukup menarik untuk dilawati , ini adalah lawatan kali kedua saya di bumi cordoba ini dan lawatan pertama untuk isteri dan anak saya , Imelda & Melora.

Secara luaran, ianya memang amat indah dipandang , sempurna sekali sifatnya.Namun di sebalik keindahanya tersimpan sejuta satu cerita.Terlampau banyak fakta di dalam internet yang saya jumpa , namun artikel ini menarik perhatian.

dipetik dari sumber Facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA - http://drmaza.com/home/?p=1898

MENANGISI KEHILANGAN ISLAM DI SPAIN - Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Apabila kita menyebut Spain, ramai orang ataupun peminat bola akan teringatkan kelab-kelab bola sepak yang hebat dari negara tersebut. Namun, bagi yang menyedari tentang kegemilangan sejarah lampau, mereka juga tidak akan lupa tentang sejarah kewujudan kerajaan umat Islam selama lebih tujuh ratus tahun di sana. Tamadun muslim di Andalusia. Satu tempoh yang sangat panjang. Tapi, telah jatuh dan gugur segala kegemilangan.
Seperti yang saya sebutkan dalam artikel yang lepas, Jawatan Kuasa Fatwa Perlis yang diketuai oleh Yang DiPertua MAIPs DYTM Raja Muda Perlis melawat beberapa tempat penting di UK dan Spain dua minggu lepas. Saya turut menyertai rombongan itu semasa di sini (UK) dan Spain. Itulah kali pertama saya ke Spain. Beberapa Negara Eropah telah saya lawati, tetapi tidak Spain. Kesempatan itu amat bermakna bagi saya. Kami melawat Madrid, Seville, Cordova, Granada dan Barcelona.

Kota Cordova Yang Indah

Islam Bermula
Muslim masuk menguasai Spain pada tahun 711M. Tentera Tariq bin Ziyad seramai 12000 orang telah berjaya mengalah pasukan tentera King Roderic yang seramai 90,000 orang. Dikatakan, asalnya Tariq bin Ziyad datang atas pemohonan bantuan Julian, Gabenor Ceuta kepada Gabenor muslim di Utara Afrika Musa bin Nusair. Julian memohon bantuan disebabkan anak perempuannya yang dihantar belajar telah dirogol oleh King Roderic. Setelah masuk, Tariq akhirnya meneruskan operasi sehingga menguasai Spain keseluruhannya. Sebahagian pengkaji pula menyebut bahawa muslim datang menawan Spain disebabkan permohonan bantuan oleh orang-orang Yahudi atas kekejaman Kristian.
Apapun, dalam sejarah muslim di Spain, kerajaan umat Islam telah berjaya memperlihatkan sikap toleransi antara penganut agama yang sangat tinggi. Di bawah pemerintahan muslim di Spain, Yahudi dan Kristian dapat hidup dengan aman dan gemilang. Bahkan ‘The Golden Age of Jewish History’ adalah semasa pemerintahan Islam di Spain. Sehingga tokoh ilmuwan Yahudi yang terkenal Musa bin Maimun (Moses Maimonides) menganggap bahawa pemerintahan muslim di Spain adalah ‘the golden age of freedom and tolerance’ untuk penganut Yahudi.
Demikian juga penganut Kristian, mereka menikmati hak beragama dan bergaul dengan semua rakyat tanpa kezaliman dan penindasan. Ini adalah hakikat sejarah. Justeru itu, ramai penduduk Spain menganut Islam tanpa sebarang paksaan kerana memaksa seseorang menganut Islam adalah menyanggahi asas arahan al-Quran. (lihat: Maryam Noor Beig, The Legacy of Andalus: Muslim Spain)

Gambar: Penulis dalam Masjid Cardova yang telah bertukar menjadi gereja.
Di bawah pemerintahan kerajaan Muslim di Spain, Yahudi dan Kristian bebas mengamal agama mereka. Sebahagian mereka menjadi tokoh-tokoh ilmuwan yang besar dan penting. Hubungan antara penganut agama amat baik. Walaupun ada sebahagian penulis Barat yang cuba menafikan hal ini dengan menyatakan status ‘ahlu zimmah’ yang dipakai ketika itu menjadikan non-muslim itu sebenarnya second-class citizen. Padahal, ahlu zimmah bermaksud mereka itu dilindungi.
Apapun, jika dibandingkan dengan Kerajaan Krisitian yang menawan Spain selepas kejatuhan Muslim jauh lebih kejam dan zalim. Muslim dan Yahudi dipaksa menganut Kristian. Mereka dibunuh, bahkan dibakar hidup-hidup jika enggan. Sebahagian mereka dihalau keluar dari negara kerana perbezaan agama. Agama selain Kristian tidak dibenarkan diamalkan sama sekali. Hal ini diakui oleh para pengkaji sejarah dari pelbagai agama. Sesiapa yang berminat mungkin dia boleh menonton documentary dalam youtube: “The Rise And Fall of Islamic Spain”.

Kegemilangan Akademik
Sesiapa yang dalam pengajian Islam, pasti akan terbiasa dengan nama al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (meninggal 1064M) yang terkenal sebagai tokoh fekah zahiri. Dia juga ilmuwan dalam pelbagai bidang termasuk falsafah, sastera, sejarah dan lain-lain. Beliau kelahiran Cordova, Spain.
Demikian juga al-Imam Abu Abdillah al-Qurtubi (meninggal 1273M) dalam tafsir yang terkenal dengan Tafsir al-Qurtubi (al-Jami’ li Ahkam al-Quran). Qurtubi itu merujuk kepada Cardova. Begitu juga tokoh ilmuwan al-Imam Abu Bakr ibn al-‘Arabi al-Ishbili (meninggal 1148M) yang merupakan kelahiran Isbilia ataupun sekarang dikenali dengan Seville.
Al-Imam ash-Shatibi al-Gharnati yang terkenal dengan kitabnya al-Muwafaqat yang menjadi rujukan utama dalam Maqasid al-Shari’ah juga merupakan anak kelahiran Spain. Beliau lahir pada 1388M di Gharnatah yang sekarang dikenali dengan Granada. Ramailah lagi tokoh agamawan yang lahir dalam iklim Spain. Antara keistimewaan sebahagian ilmuwan Spain, mereka agak terbuka dalam banyak perkara.

Gambar: Penulis membelakangi Kota Alhamra
Jangan lupa di Spainlah umat Islam berjaya menghasil dan meneroka pelbagai ilmu pengetahuan. Lautan ilmu dalam perubatan dan astronomi telah dihasilkan. Demikian juga astrology, psychology, zoology, botany, biology, physics, chemistry, geometry dan lain-lain. Orang muslim Spain juga telah menghasil kain kapas, kertas, garam, sutera, satin, peta, jam dan pelbagai lagi.
Ahli ilmuan dari Barat telah datang dan belajar semua ilmu ini dari umat Islam Spain dalam bahasa Arab. Bahasa Arab telah dianggap sebagai bahasa ilmu dan sesiapa yang mampu menguasainya dianggap ilmuwan. Sastera Arab terutama puisi-puisi Arab Spain berkembang keseluruh Eropah. Dengan ilmu-ilmu ataupun tamadun yang diambil dari Umat Islam inilah juga yang akhir menyedarkan Eropah dari kegelapan dan mencetuskan European Renaissance.

Senibina
Senibina yang amat halus, menarik dan mewah telah menjadikan bangunan-bangunan peninggalan umat Islam Spain tiada tandingannya. Kota Alhamra di Granada telah menjadi saksi keindahan senibina umat Islam Spain. Ketika berada di Alhamra saya sempat bertanya pemandu pelancong kami, namanya Abu Bakr. Beliau nampak sebegitu tinggi semangat Islamnya dan memuja keagungan Islam di Spain.
Saya bertanya kepadanya: “Segala kemewahan ini, lambang keagungan dan kehebatan, ataupun lambang kezaliman dan pembaziran?”. Beliau menjawab: “Jika saya mahu bercakap benar, saya menganggap ia pembaziran dan kezaliman”. Saya bertanya soalan yang sama kepada salah seorang tokoh ilmuwan muslim di Granada, namanya Abd al-Ghani. Beliau telah menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Spanish. Beliau jawab: “Ia adalah sunnah alam dalam persaingan. Semasa itu muslim bersaing untuk menunjukkan kehebatan mereka”.
Saya pula berpendapat: “Jika pembinaan dalam keadaan kekayaan yang cukup dan bukan hasil perahan harta rakyat, maka ia sesuatu yang amat terpuji dalam dunia persaingan tamadun. Jika ia diambil dari kesusahan rakyat, maka itu satu kezaliman. Namun, masyarakat muslim ketika itu kelihatan kaya dan mewah”.

Gambar: Penulis di tepi kolam Alhamra

Hanya Kenangan
Namun, itu semua telah menjadi sejarah. Kerajaan Spain jatuh dan tamadun mereka dihancurkan oleh Kristian, hanya tinggal saki baki yang sedikit. Masjid Cardova yang indah dan agung telah bertukar menjadi gereja. Islam dihalau, dan sebahagian besar dipaksa menganut Kristian. Kesan-kesan Islam semampu mungkin cuba dihakiskan. Semua itu bermula dari pengkhianatan dan permusuhan sesama sendiri atas kerakusan kuasa. Mereka berpecah dan bermusuhan. Rakyat dan umat menjadi mangsa. Ratusan tahun tamadun yang dibina, akhirnya gugur dan tidak bangkit lagi.
Walau bagaimana pun, hari ini dunia menikmati hasil peninggalan Andalusia. Ilmu-ilmu yang diwariskan, telah diciplak dan dikembangkan oleh Eropah. Umat Islam hanya mampu menyebutnya, tanpa meneruskannya lagi. Memalukan. Namun, Spain menjadi saksi bahawa sikap toleransi antara agama khususnya Islam, Yahudi dan Kristian telah dibuktikan di bawah pentadbiran umat Islam. Ajaran Islam, menentang penindasan agama. Kehancuran toleransi di Spain adalah selepas kejatuhan Islam ke tangan tentera Kristian. Mereka tidak mengamal apa yang diajar oleh Jesus.

Gambar: Cordova dalam kenangan
Saya juga tidak mengatakan bahawa para pemerintah umat Islam Spain ataupun Andalusia itu benar-benar Islamik. Ada perbuatan mereka yang betul, dan ada yang salah. Ya, kerana dosa juga mereka jatuh. Namun, asas toleransi telah mereka amalkan, kerana itu dasar ajaran Islam dalam politik. Malangnya, dasar itu tidak dipegang oleh tentera Kristian yang menawan Andalusia.
Saya bayangkan, jika Barat hari ini masih kuat Kristian, dan ia menjadi dasar pemerintahan, tentu agama lain sukar untuk hidup di Barat. Namun, dengan pemisahan agama dan politik di Barat telah menyelamatkan banyak keadaan.
Demikian dunia muslim. Jika hendak amalkan Islam, amalkan Islam yang sebenar yang akan memberikan keadilan dan kerahmatan kepada semua manusia. Jika Islam sekadar topengan dan permainan politik, lebih baik dipisahkan agama dari politik. Dengan itu, Allah dan Nabi tidak akan dicerca oleh yang salahfaham. Kembara ke Spain banyak memberi inspirasi.

No comments:

Post a Comment